Pernahkah anda ditawarkan RM untuk melakukan sesuatu yang anda tidak mahu?
Berapa RM kah yang anda rasakan akan mengubah keputusan anda untuk makan lipas, cicak, katak, ulat dan fear factor yang lain?
RM100 untuk berendam didalam kolam berserta lintah? atau RM50 untuk minum secawan kicap? atau RM10 untuk makan bawang? berbaloikah?
atau RM200 untuk mengambil MyVi berwarna merah?
Dalam hidup ini, pasti ada ketikanya kita melakukan sesuatu bukan kerana kita mahu melakukannya, tetapi kerana imbuhan wang yang kadangkala tidak seberapa. Bangun awal pagi supaya tidak ketinggalan LRT, masuk keje pagi-pagi supaya harap-harap awal sikit daripada bos masuk, buat report sampai juling biji mata, telefon rakan niaga termasuk kakitangan kerajaan, client, customer dan kakitangan satu kompeni untuk buat follow up itu dan ini. Kena marah dengan bos secukup rasa adalah pelengkap hari-hari di pejabat. Dengan kegigihan dan kudrat anda, anda melalui semua ini dengan tabah, berlarutan sehinggalah sebulan sebelum anda tersenyum melihat imbuhan yang tertera didalam bank akaun anda. Penamatnya, duit juga yang dijadikan ukuran bukan?.
Semasa maman mencari-cari MyVi SE putih yang sesuai dengan imej maman yang kompak dan putih ni, maman ditawarkan oleh penjual kereta ini untuk menyambar satu MyVi SE berwarna merah. Sudah tentu maman menolak kerana bukan itu yang maman inginkan. Tetapi dia menawarkan RM200 sekiranya maman mengubah keputusan untuk mengambil stok MyVi berwarna merahnya itu. Dan termasuk juga tawaran-tawaran barangan percumanya yang lain-lain. Tawaran itu membuatkan maman berfikir, adakah RM200 memadai untuk maman tidak memiliki MyVi putih?. Tawaran itu juga menimbulkan minat maman untuk menenung MyVi merah agak lama. Tidak lagi memandang sekali lalu sahaja seperti sebelum ini.
Adakah maman patut mengambilnya? wajarkah?
